Luahan Pena
Aku Tak Tahu
Aku tak tahu,
Apakah ini keluhuran
atau sementara cuma,
perasaan di jiwa ini,
apakah sungguh hanya untukmu
atau hanya igauan di waktu rembang..
Aku tak tahu,
Kepastian tandus dalam diri,
keraguan menyapa jiwa
Apakah ianya sejati
ataukan sirna dipuput pawana menghembus..
Aku tak tahu,
Bila di cengkam kegelisahan,
haruskah ku pendamkan sahaja
Kerana mungkinkah aku khilaf,
yang tiada punya sifat kamil
kerana nisbi ku denganmu
Aku tak tahu,
Namun biarlah makhfi tersirat di atma
Yang mungkinkah di hakis pinggiran waktu...
Hadirmu Bak Cahaya
Hadirmu,
Bak cahaya yang menerobos ke lorong hatiku,
Yang lama kegelapan..
Dan aku terpana,
Dengan simbahan sinarmu,
Namun masih ku ragu,
Haruskah ke terus melangkah,
Mengapai cahaya mu..
Atau berdiam sahaja,
Dan terus menghuni kegelapan ini..
Namun sinarmu,
Terus menggamitku
Tapi ku bimbang untuk melangkah,
Andai cahaya yang ku kejar,
akan sirna sebelum sempat ku mencapainya..
Keresahan itu memaksa aku,
Untuk terus begar di sini,
Biar cahayamu terus menerangi,
Namun ku bagaikan menunggu saat ku kegelapan semula..
Sayang,
Adakah kasihmu kan terus bersamaku,
Atau kau kan pergi seperti mereka,
Pergi membawa piala kasihku,
Membiarkan aku mengutip serpihan cinta..
Kasih,
Ungkapan sayangmu sering mengugah airmataku,
Namun keresahan masih menjadi miliku,
Biar sejuta kali ingin ku percaya,
Tapi sejuta bimbang turut memburu ku,
Hingga keikhlasanmu rasa tercabar..
Kekasihku,
Biar masa dan waktu menjadi penentu,
Sehingga saat itu tiba,
biarlah aku begar di sini,
menanti cahayamu sirna ataupun ia kan terus menjadi miliku...
Lukisan Wajah
Lukisan Wajahmu:
Wajah cermin hati,
Cermin hati yang derita
Walau cuba kau lindungi,
dengan senyumanmu...
Wahai sahabat,
Derita apa yang kau tanggungi,
tangis apa yang kau selindungi,
resah apa yang menyelubungi,
hingga senyuman tiada indah,
hingga tawamu tiada ceria,
hingga menungmu tiada bernoktah...
Yuda apakah,
yang melanda atmamu
Gelombang resah apakah,
yang memukul pantai hatimu
Derita apakah,
yang menyapa di pintu hatimu...
Di wajahmu terpamer segala
Walau cuba kau tersenyum,
Tapi senyumanmu hambar cuma...
Wahai sahabat,
Apakah ini isbatmu,
tiada sudah babak deritamu
Kau bermandi duka lara
Namun tabahlah kamu,
kerana sesungguhnya,
setiap perjalanan ada akhirnya,
setiap derita ada noktahnya...
Bicara Sepi
Kemasyghulan menyapa hati,
Atma di landa sepi,
ingatan berbebaran tanpa watas,
renungan berpanjangan tanpa noktah..
Gadis itu gelisah lagi;
resah gelisah tak tahu puncanya,
airmata mengalir,
dadanya sebak,
resah gelisah tak tahu puncanya..
Mungkin ada hati yang terluka,
atau mungkinkah ada makhfi yang tersirat;
atau ada rasa yang tidak terungkap.
Gadis itu berbicara sepi;
resah gelisah tak tahu puncanya,
biar lena sudah lama gersang;
biar mentari sudah lama beradu,
resah gelisah tak tahu puncanya..
Mungkin ada suatu keraguan;
atau ada khilaf yang terpendam,
atau mungkin impian indah telah sirna..
Gadis itu masih di situ,
resah gelisah tak tahu puncanya...